Keputusan penuh Johor Darul Takzim vs ATM 18 Januari 2013 - Hasrat pasukan Johor Darul Takzim untuk meraih kemenangan pertama ke atas ATM pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi musnah selepas hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 meskipun Johor dilihat berpeluang meraih tiga mata penuh atas kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Ia merupakan keputusan seri kedua berturut-turut buat skuad bimbingan Fandi Ahmad itu selepas seri 2-2 ketika berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan Selasa lalu.
Pada aksi semalam, ATM yang juga juara Piala Sumbangsih awal bulan ini memperoleh gol pertama pada minit kelima menerusi rembatan Amiridzwan Taj Tajudin yang menewaskan penjaga gol Mohd. Zamir Selamat. Rentak permainan Johor DT mula berubah sebaik pemain import, Daniel Guiza menyamakan kedudukan pada minit ke-17.
Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga Sepanyol bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan lawan, Irwan Fadly Idrus yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas daripada kawasan penalti sekali gus memberi peluang kepadanya untuk melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Farizal Harun.
ATM kembali berada di hadapan setelah menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 menerusi tendangan percuma Irwan Fadly Idrus. Selang seminit, Johor DT kembali menyamakan kedudukan apabila Norshahrul Idlan Talaha menyepak masuk hantaran lintang Nurul Azwan Roya.